Anwar Ibrahim (tengah) melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran Memperkasa Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) dan barisan menteri-menteri.
KUALA LUMPUR: Pemberian biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu berdasarkan prinsip keadilan sosial yang perlu memberi peluang yang saksama khususnya melibatkan pemberian bantuan yang lebih kepada golongan yang terpinggir.
“Pengalaman saya sewaktu Menteri Pendidikan dahulu adalah dengan mewujudkan sebuah sekolah di Cheras bagi membantu pelajar miskin.
“Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini kelmarin.
Terdahulu, menurut Anwar, diakui bahawa majoriti rakyat termiskin ialah kaum Melayu dan Bumiputera, itu perlu dibantu.
“Tetapi kita juga punyai kelompok kecil kaum lain yang hidup melarat. Maka, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka.
“Kita mahu setiap insan di Malaysia berpotensi meraih peluang yang saksama dalam mewujudkan kemakmuran di negara ini,” katanya.































