Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa untuk dihantar ke hospital. -Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Seorang lelaki cedera selepas lori 10 tan dipandunya terbabas sendiri dan terbalik di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Mohd. Hasbi Hajat memberitahu, kejadian itu berlaku di Jalan Kampung Gana pada jam 9 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK I KUP Gabuh Maradan dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 34 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan batu terbabas sendiri.
“Terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecedaraan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurut Hasbi, pasukan bomba bertindak membantu mengangkat mangsa dan membuka kepala bateri lori itu.
Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 10.19 pagi, katanya.





























