Operasi SAR untuk mencari mangsa yang hilang selepas dipercayai dibaham buaya di Tawau. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki hilang selepas dipercayai dibaham buaya semasa turun dari bot dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Mas-Mas Nasib Kita, di sini, jam 4 pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa yang berusia 60 tahun itu akan diteruskan hari ini.
Menurutnya, BBP Tawau dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi talian balai pada jam 7 pagi Rabu dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBK I KUP Rosliee Suyut bersama sebuah kenderaan Vigo dan sebuah bot alumanium dikejarkan ke lokasi itu.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak 70 kilometer dari BBP itu, pasukan bomba menjalankan operasi SAR bersama agensi bantuan PDRM menggunakan bot dengan kaedah Surface Searching dengan radius pencarian 3 kilometer di sepanjang muara sungai,” katanya.
Jemishin berkata, laporan pengadu mengatakan bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya semasa turun ke bot sekitar jam 4 pagi Rabu.































