KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Dudar di sini sejak awal pagi kelmarin telah dijumpai selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa yang berusia 11 tahun ditemui oleh orang awam dalam keadaan selamat pada jam 9.30 malam tadi dan telah diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.
Katanya, sebelum itu, mangsa dikatakan telah balik ke rumah pada jam 3.30 pagi kelmarin tetapi melarikan diri semula ke dalam hutan setelah mendapati terdapat ahli keluarga lain di rumah.
“Menurut maklumat yang diterima, mangsa telah keluar dari rumah Ahad selepas berlaku perselisihan faham antara mangsa dan keluarganya,” kata Syazwan.
Sepasukan 13 anggota dari BBP Kota Belud, diketuai TPgB Kamaruddin Sogon dikejarkan ke lokasi sejauh 42 kilometer dari BBP itu kelmarin selepas menerima panggilan menerusi talian balai pada jam 7.54 pagi.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain operasi ditamatkan pada jam 10.30 malam tadi,” katanya.































