Anggota bomba bersama sebahagian daripada pelancong Korea yang diselamatkan. – Ihsan Bomba
TUARAN: Sekumpulan 14 pelancong warga Korea dan dua orang jurumudi berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka tersangkut pada pokok nipah akibat arus deras sungai di sini malam tadi.
Kejadian itu berlaku di Sungai Bolong pada jam 9.50 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mahmud Jumah dikejarkan ke lokasi.

Setiba di tempat kejadian sejauh tujuh kilometer dari BBP itu, katanya, pasukan bomba mendapati berlaku satu insiden melibatkan sebuah bot pelancong tersangkut di pokok nipah akibat daripada arus sungai yang kuat.
“Terdapat 14 orang pelancong Korea iaitu sembilan perempuan dewasa, empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki serta dua orang jurumudi di dalam bot tersebut,” katanya.
Mohd. Abdul Qawie berkata, pasukan bomba bertindak memindahkan kesemua pelancong dan jurumudi ke tebing sungai dengan menggunakan bot orang kampung.
“Seterusnya, kesemua mangsa yang dilaporkan dalam keadaan selamat diserahkan kepada syarikat pelancongan yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 12.57 tengah malam.































