Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa ke daratan. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang perempuan warga emas ditemukan lemas dan tersangkut pada sebatang kayu di sungai, di sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Mohd. Ridwan Mohd. Taib berkata, mangsa yang dikenalpasti sebagai Minggui Belinting, 81, ditemukan tersangkut pada sebatang kayu dalam kejadian berlaku di Kampung Tinanom, yang terletak kira-kira 74 kilometer dari BBP Ranau.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan 4 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Waslie Saupin bergegas ke lokasi.
“Anggota dilengkapi dengan sebuah jentera FRV. Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk empat anggota polis dan juga tujuh orang anggota RELA.
“Setiba di lokasi pasukan bomba diminta membantu mengangkat mayat yang tersangkut pada sebatang kayu di kawasan tebing sungai di mana mangsa dipercayai lemas,” katanya.
Mohd. Ridwan menambah, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi,” katanya.































