KOTA KINABALU: Sebuah rumah, bengkel dan beberapa buah kenderaan terbakar di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu memberitahu, kejadian berlaku di Kampung Sembulan Tengah, pada kira-kira jam 12 tengahari.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 12.38 dan sepasukan 25 orang diketuai oleh beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 1 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berserta sebuah bengkel membaiki kenderaan yang berada di tingkat bawah berkeluasan 60×46 kaki terbakar 100 peratus.
“Kebakaran juga turut melibatkan lima buah kenderaan yang terkena bahangan api. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga pancutan dua aliran 200 kaki sumber air dari jentera dan sumber air terbuka,” katanya.
Menurut Ordine, Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.22 petang dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.
“Dilaporkan, terdapat dua orang mangsa, seorang mangsa adalah PB Mohd. Ralie Abdul Manap yang bertugas di BBP Kota Kinabalu dan seorang mangsa lagi lelaki dewasa dilaporkan telah terkena renjatan elektrik.
“Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.































