Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Penolakan Mahkamah Rayuan Belanda terhadap cubaan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara AS$15 bilion terhadap Kerajaan Malaysia adalah bukti lanjut bahawa kumpulan itu tidak mempunyai locus standi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam mengalu-alukan keputusan itu, mengulangi bahawa keputusan tersebut mengesahkan pendirian Kerajaan Negeri yang tidak mengiktiraf tuntutan itu.
“Sabah berkongsi keyakinan Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya anugerah itu selepas keputusan tersebut,” katanya.
Hajiji mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas tindakan tegas untuk berdiri teguh untuk melindungi kedaulatan Malaysia.
Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan sehingga apa yang dipanggil Tuntutan Sabah dibatalkan, kata Ketua Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.































