Zainudin (tengah) bersama seorang kanak-kanak membaca paparan papan poster.
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menyertai aktiviti Minggu Perpustakaan 2023 bermula 24 Jun sehingga 6 Julai ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata, sebanyak 18 program akan dilaksanakan bersesuaian misi Perpustakaan Negeri Sabah memperkasakan perkhidmatan bagi membentuk masyarakat membaca dan berilmu.
“Idea mengadakan Minggu Perpustakaan diharap mendekatkan perpustakaan dengan masyarakat terutama golongan belia dan para pelajar.
“Pendedahan seawal usia muda kanak-kanak kepada perpustakaan akan membentuk minat membaca dalam diri mereka.
“Kehadiran kanak-kanak yang ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing hari ini membuktikan kesungguhan ibu bapa mendidik anak-anak menjadi insan cerdik di kemudian hari,” katanya semasa Majlis Pelancaran Minggu Perpustakaan Tahun 2023.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman.
Turut hadir, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Fatimah Abdillah dan Timbalan Setiausaha Tetap I, Maria Chong.































