Pasukan bomba melakukan pemadaman kebakaran pada lori treler itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Sebuah lori treler hangus terbakar dalam kemalangan tiga kenderaan di sini tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Ladang Sandau Lahad Datu pada jam 12.54 tengah hari.
Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Muhamud Punya dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 35 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan telah berlaku melibatkan sebuah lori treler dan dua buah kenderaan masing-masing jenis Toyota SR.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan lori treler terbakar 100 peratus. Terdapat tiga orang mangsa terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut Sumsoa, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 100 kaki dengan cecair foam dan air daripada jentera.
Katanya, setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.22 petang.































