Keadaan kebakaran melibatkan empat buah rumah dan sebuah kenderaan di Kuala Penyu. – Ihsan Bomba
KUALA PENYU: Sebanyak empat buah rumah dan sebuah kenderaan terbakar di sini pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, PPgB Awang Mohd. Sabree berkata, kejadian berlaku di Jalan Saga-Saga Kampung Pimping pada kira-kira jam 1.40 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 1.47 petang dan sepasukan tujuh anggota diketuai oleh beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
Turut membantu dalam operasi tersebut ialah tujuh anggota bantuan dari BBP Kimanis bersama jentera dan kenderaan utiliti.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 27 kilometer dari BBP itu, didapati empat buah rumah dan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari telah terbakar,” katanya.
Menurut Awang, pasukan bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran 200 kaki lima pancutan sumber air dari jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.20 petang.































