KOTA KINABALU (Bernama): Kementerian Kesihatan (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM500,000 dalam serbuan terhadap 11 premis menerusi Ops PADU di sekitar Kota Kinabalu hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Asniza Alias berkata rampasan itu merupakan yang terbesar direkodkan di Sabah sepanjang tahun ini, hasil operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan selepas hampir enam bulan pemantauan dan risikan.
Beliau berkata operasi berkenaan menyasarkan rangkaian pengedar haram yang membekalkan produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi untuk pasaran tempatan, khususnya di tapak tamu dan kedai runcit di seluruh Sabah.
“Enam bulan kita menjalankan risikan, hari ini kita telah berjaya menyerbu 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal dan mereka juga adalah penjual produk-produk tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Asniza berkata pemeriksaan terhadap premis berkenaan, termasuk sebuah gudang yang diubah suai, menemukan 27,910 unit produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar, 2,663 unit produk mengandungi racun berjadual serta 23,101 unit produk kosmetik tidak bernotifikasi.
Beliau berkata antara barangan dirampas termasuk antibiotik, ubat penahan sakit, ubat antikulat, pil perancang keluarga serta produk kosmetik yang disyaki mengandungi bahan terlarang seperti hidrokuinon dan tretinoin, selain produk mengandungi steroid.
Menurutnya, serbuan dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu termasuk di daerah Putatan dan Likas, dengan produk berkenaan dipercayai dibekalkan kepada peniaga tamu serta kedai runcit untuk dijual kepada pengguna di seluruh Sabah.
Asniza berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan produk terbabit, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk dari luar negara.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara serta 50 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut beliau, penjualan produk farmaseutikal tidak berdaftar merupakan kesalahan mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Beliau berkata individu disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli produk kesihatan daripada sumber meragukan kerana pengambilan ubat tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengundang pelbagai kesan sampingan termasuk kerosakan buah pinggang, gangguan hormon dan kerintangan antibiotik. — BERNAMA
































