Ewon Benedick
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick membangkitkan beberapa isu berkaitan hak Sabah, pembangunan pelancongan komuniti serta keperluan menaik taraf kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meminda Akta Industri Pelancongan bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan dalam sektor berkenaan, sekali gus membolehkan gerakan koperasi melaksanakan perusahaan dan perkhidmatan pelancongan tertentu.
Katanya, banyak koperasi sudah terlibat dalam industri itu, termasuk memiliki hotel, mengusahakan resort, pelancongan komuniti, perkhidmatan pengembaraan dan hospitaliti.
“Bagaimanapun, koperasi masih menghadapi halangan-halangan tertentu kerana Akta Industri Pelancongan pada ketika ini belum memasukkan koperasi sebagai entiti yang boleh melaksanakan perusahaan atau perkhidmatan tertentu sepertimana yang dibolehkan kepada entiti yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian menginstitusikan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai salah satu pendaftar perniagaan pelancongan negara.
Dalam isu pembangunan pelancongan Sabah, Ewon meminta MOTAC memperkukuh sokongan terhadap usaha pembangunan dan promosi sektor itu, termasuk memastikan pengusaha pelancongan komuniti mendapat manfaat daripada peruntukan yang disediakan.
Beliau berkata, perkara berkaitan pelancongan sedang dibincangkan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), dengan Sabah dan Sarawak menuntut supaya bidang itu diletakkan di bawah Senarai Bersama berbanding Senarai Persekutuan ketika ini.
“Sementara perundingan MA63 masih berterusan mengenai perkara ini, kementerian mempunyai tanggungjawab besar untuk menyokong inisiatif-inisiatif pembangunan dan promosi pelancongan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan daripada RM201.550 juta bagi Pembangunan dan Promosi Pelancongan serta RM400 juta bagi Penganjuran Visit Malaysia 2026–2027 yang akan disalurkan untuk menyokong Kempen Tahun Melawat Sabah 2027.
Kempen itu dijadualkan dilancarkan Kerajaan Sabah bulan depan.
Ewon juga membangkitkan keperluan pengusaha pelancongan komuniti mendapat akses kepada peruntukan pembangunan, termasuk RM136.685 juta bagi penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan, RM150 juta bagi penyelenggaraan kemudahan dan infrastruktur serta RM69.050 juta bagi pembangunan ekopelancongan.
Katanya, Sabah mempunyai ratusan perusahaan pelancongan berasaskan komuniti yang diusahakan melalui syarikat, koperasi, persatuan atau badan pentadbiran kampung, termasuk di Penampang dan Kadamaian.
“Banyak yang mengadu kepada saya, setiap kali mereka memohon peruntukan, mereka selalu diberitahu, tidak ada peruntukan.
“Justeru, saya ingin menjemput Menteri atau Timbalan Menteri atau pegawai-pegawai kanan kementerian dapat turun ke lapangan di Penampang dan Sabah secara keseluruhannya meninjau sendiri perusahaan-perusahaan pelancongan ini dan membantu keperluan pembangunan. Saya percaya keperluan mereka bukanlah yang berskala besar dan wajar dibantu,” katanya.
Dalam usaha memelihara warisan budaya, beliau mencadangkan MOTAC mengadakan pertemuan dengan persatuan yang menerajui Sekolah Adat bagi membincangkan pembangunan inisiatif berkenaan.
Katanya, komuniti di Sabah sudah memulakan pembinaan sekolah adat di beberapa daerah, termasuk Penampang dan Kadamaian, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP).
Beliau turut mencadangkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia dibangunkan secara lebih proaktif setiap tahun sebagai antara usaha mempromosikan pelancongan dan kebudayaan negara.
Sementara itu, dalam perbahasan bagi Kementerian Kesihatan, Ewon menggesa kementerian mempercepat pelaksanaan projek pembinaan dan penaiktarafan kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian.
Antara yang diberi perhatian ialah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Penampang yang sudah lama tertangguh dan diharapkan dapat dimulakan tahun depan.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan bertulis kementerian terhadap pertanyaan lisannya pada 2 Julai lalu, projek itu dijangka ditender pada suku keempat 2026, manakala kontraktor dijangka dilantik pada suku pertama 2027.
“Projek ini sudah lama tertangguh, dan saya berharap pada timeline kali ini, projek ini dapat dimulakan pada tahun depan,” katanya.
Ewon turut meminta kementerian meneruskan cadangan pembinaan hospital pakar di Penampang membabitkan tanah seluas hampir 20 ekar di Kampung Maang yang sudah diperakukan di peringkat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Daerah Penampang.
Beliau turut menyokong cadangan penambahan fasiliti Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah di Bundusan serta pembinaan Klinik Kesihatan Timpayasa Penampang.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan terhadap peruntukan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian, termasuk Klinik Kesihatan Penampang serta klinik desa di Kampung Babagon, Sayap, Kaung Ulu dan Lasau Takulung.
“Saya telah menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Penampang untuk membantu keperluan di Poliklinik Penampang pada tahun 2024 dan juga 2026 ini. Saya berharap keperluan fasiliti di Poliklinik Penampang ini akan terus diambil tindakan oleh kementerian,” katanya.
Bagi Kadamaian, beliau berharap cadangan pembinaan klinik desa baharu di Kampung Nahaba dan Kampung Tolus dapat dilaksanakan berdasarkan tapak yang sudah dikenal pasti melalui mesyuarat LUC Kota Belud.
Beliau turut meminta supaya penaiktarafan dan pemindahan Klinik Desa Kampung Kiau ke tapak baharu diberi perhatian, termasuk cadangan menaik tarafnya kepada Klinik Kesihatan Kiau.
“Saya meminta supaya penaiktarafan Klinik Desa Kampung Kiau kepada Klinik Kesihatan Kiau dapat dimasukkan dalam peruntukan RP2 RMK13 iaitu pada tahun hadapan sepertimana yang telah dikemukakan serta mengambil kira jarak klinik desa ini dengan Hospital Kota Belud, iaitu 53 kilometer,” katanya.
Selain itu, beliau meminta Klinik Desa Kampung Sayap dan Klinik Desa Kampung Lasau Takulung dinaik taraf kepada klinik kesihatan, masing-masing mengambil kira jarak 28.5 kilometer dan 30 kilometer dari Hospital Kota Belud.
Ewon turut meminta kementerian memberi perhatian kepada keperluan Klinik Kesihatan Taginambur, khususnya penyediaan kuarters kakitangan dan perolehan kelengkapan baharu.
Dalam perbahasan itu, beliau turut menyokong peluasan akses kesihatan melalui Skim Perubatan MADANI, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) serta Bantuan Alat Sokongan/Alat Tiruan (BAT).
Beliau juga mencadangkan inisiatif COMBI diperluaskan melalui kerjasama kementerian dengan badan pentadbiran kampung atau kejiranan.
Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM47.7 bilion dalam Belanjawan 2027, termasuk RM6.749 bilion bagi pembangunan.
































