PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Beverly Hills di sini pada 11 April 2009.
Suspek ditahan pada 22 Oktober lalu di sebuah kediaman di sekitar Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Arisanti Aziz berkata tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan kes kematian berkenaan yang berlaku lebih 17 tahun lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut peruntukan undang-undang berkenaan, sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Arisanti berkata kejayaan tangkapan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah serta memastikan individu yang disyaki terbabit dalam jenayah serius terus dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.
































