Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan mempertimbangkan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sepanggar baru-baru ini yang meragut dua nyawa.
Pengerusi LPKP Sabah Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata pihak lembaga akan bermesyuarat pada 30 Oktober ini bagi membincangkan dan memuktamadkan tindakan sewajarnya terhadap pengendali berkenaan.
Beliau berkata tindakan itu tertakluk kepada hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, LPKP Sabah memandang serius insiden tragis itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran peraturan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Pihak lembaga akan bermesyuarat pada 30 Oktober (Jumaat) bagi membincangkan dan memuktamadkan tindakan sewajarnya terhadap pengendali kenderaan perdagangan yang terlibat, termasuk mempertimbangkan syor penggantungan atau pembatalan lesen berkenaan, tertakluk kepada hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Phoong berkata LPKP Sabah juga akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa sebarang kecuaian atau pelanggaran peraturan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya tidak akan ditoleransi.

































