KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menyambut baik penganjuran The Big Sabah Car Show 2026 yang berpotensi menjadi antara acara pelancongan utama negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau bersama Pembantu Menteri, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd. Sainal menyatakan sokongan itu ketika menerima kunjungan hormat delegasi CULT Event Management (CULT Malaysia) bersama wakil Breeze Magazine bagi membincangkan kerjasama strategik dalam mempromosikan pelancongan Sabah.
The Big Sabah Car Show 2026 dijadual berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Jafry menyambut baik usaha penganjur menggunakan acara automotif sebagai platform untuk menarik pengunjung dari dalam dan luar Sabah, selain memperkenalkan negeri ini menerusi pendekatan pelancongan yang lebih kreatif dan pelbagai.
Beliau turut bersetuju menyokong penganjuran CULT dan usaha memasukkan acara berkenaan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sabah.
Langkah itu berpotensi memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, tetapi juga menawarkan acara berskala besar dalam sektor automotif, gaya hidup dan pelancongan bandar.
Dr. Andi turut menyambut baik inisiatif itu, khususnya potensi penglibatan komuniti automotif, golongan belia dan pemain industri tempatan dalam menyokong aspirasi Visit Sabah 2027.
Program selama dua hari itu menampilkan dua acara utama, iaitu Borneo 4×4 Outdoor Show 2026 pada 31 Oktober, diikuti CULT Car Culture Festival 2026 pada 1 November.
Penganjur menjangkakan kira-kira 20,000 pengunjung menghadiri acara berkenaan, sekali gus berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perniagaan tempatan.
Selain pameran kenderaan dan aktiviti gaya hidup automotif, penganjur turut mencadangkan Kempen Pelekat Kenderaan Visit Sabah 2027 sebagai inisiatif promosi pelancongan yang melibatkan komuniti permotoran.
Menerusi inisiatif itu, pelekat khas yang memaparkan identiti dan mesej pelancongan Sabah akan digunakan sebagai medium promosi bergerak pada kenderaan peserta serta komuniti automotif.
Pendekatan itu bertujuan memperluas kesedaran mengenai Visit Sabah 2027 dalam kalangan peminat automotif dan masyarakat umum di seluruh Sabah serta luar negeri.
Sementara itu, Breeze Magazine menyatakan komitmen membantu mempromosikan CULT dan memperluas publisiti pelancongan Sabah menerusi penerbitan majalah, liputan editorial, fotografi, platform digital dan rangkaian media.
Kerjasama itu diharap dapat mengetengahkan destinasi menarik, kepelbagaian budaya, produk pelancongan dan aktiviti gaya hidup Sabah kepada khalayak lebih luas.
Pengarah Program CULT, Azlin Awang Chee menyifatkan sambutan positif daripada kepimpinan kementerian sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan CULT sebagai acara tahunan yang berpotensi menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan negara jiran.
Menurut penganjur, acara seumpama itu bukan sahaja menghimpunkan peminat dan komuniti automotif, tetapi turut berpotensi menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan acara serta membuka peluang kerjasama antara sektor swasta, industri kreatif dan agensi pelancongan.
CULT Malaysia berharap kerjasama dengan kementerian dan rakan media dapat diteruskan bagi memperluas skala penganjuran pada masa hadapan, selaras dengan usaha menjadikan Sabah destinasi pilihan bagi pelancongan acara di rantau Borneo.

































