Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Program kemasyarakatan akan dijadikan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan simpanan selepas bersara dan menggalakkan lebih ramai mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata langkah itu penting berikutan laporan media bahawa kira-kira 80 peratus pencarum KWSP di Sabah mempunyai simpanan di bawah RM50,000, yang disifatkan sebagai angka yang membimbangkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan secara tidak rasmi dengan pengarah KWSP sebelum ini bagi membincangkan isu berkenaan dan membawa penerangan mengenai kepentingan simpanan persaraan kepada masyarakat.
“KWSP penting untuk simpanan masa tua kita, apabila ada simpanan selepas pencen atau tidak lagi bekerja, kita ada simpanan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Inanam Sentral oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata untuk Parlimen Sepanggar, pihaknya akan meminta agar reruai KWSP dibuka sempena program Aku Kasih Malaysia pada Ahad ini serta Program MADANI Kita di Dewan Menggatal pada 24 Okt.
Semalam media melaporkan 80 peratus daripada 1.14 juta ahli KWSP di Sabah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dengan pekerja sektor tidak formal antara yang berdepan cabaran untuk membuat caruman secara konsisten, keadaan yang perlu diberi perhatian serius bagi memastikan rakyat negeri itu mempunyai simpanan yang mencukupi dan selesa selepas tidak lagi bekerja.
Sementara itu, Mustapha berkata Parlimen Sepanggar setakat ini mempunyai empat pusat NADI termasuk yang baharu dirasmikan hari ini setelah sebulan beroperasi.
Beliau berkata NADI yang terletak di Pekan Inanam itu merekodkan kira-kira 500 orang ahli berdaftar setakat ini, yang mampu memberi manfaat bagi melahirkan usahawan melalui latihan pemasaran dan kursus kecerdasan buatan (AI).
“Saya harap penduduk di Parlimen Sepanggar dapat memanfaatkan NADI ini kerana dengan adanya pusat ini, ahli jawatankuasa kampung, ketua kampung akan dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya. — BERNAMA
































