RANAU: Pendidikan perlu terus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan Sabah mempunyai modal insan berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu meneruskan agenda pembangunan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disokong sumber manusia berkualiti.
“Kerajaan boleh membina jalan, membangunkan industri, menarik pelaburan dan mengukuhkan ekonomi. Tetapi akhirnya, semua pembangunan itu memerlukan manusia yang mempunyai ilmu, kemahiran, integriti dan kemampuan untuk meneruskannya.
“Sebab itulah pendidikan mesti sentiasa dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau Kali Ke-2 Tahun 2026 di Dewan Utama MRSM Ranau, di sini, kelmarin.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata, pembangunan MRSM Ranau merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS.
Katanya, pembinaan MRSM Ranau bermula pada 2019 sebelum kampus itu diserahkan pada 2023 dan menerima kumpulan pertama pelajar pada Mac 2024.
Beliau berkata, pelaburan pembangunan bernilai RM132 juta itu bukan sekadar membina sebuah kampus pendidikan, sebaliknya merupakan pelaburan terhadap potensi dan masa depan anak-anak Sabah.
“Graduan maktab yang sebelum ini dan hari ini sebahagian daripada hasil pelaburan tersebut,” katanya.
Menurutnya, kerjasama dalam pembangunan pendidikan perlu diteruskan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemahiran digital, keusahawanan serta pembangunan bakat.
“MRSM Ranau yang masih merupakan institusi baharu mempunyai peluang untuk membina identiti, budaya dan legasi tersendiri dalam melahirkan generasi muda berkualiti.
“Saya berharap MRSM Ranau suatu hari nanti bukan sahaja dikenali kerana pencapaian akademiknya, tetapi kerana kemampuannya melahirkan anak muda yang berilmu, berdisiplin, berakhlak, berani berfikir, mampu berkomunikasi dan mempunyai daya tahan yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada guru dan warga kerja MRSM Ranau atas komitmen dalam mendidik serta membentuk karakter pelajar.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang menjadi antara tonggak penting di sebalik kejayaan 65 graduan yang diraikan.
Masidi turut berpesan supaya pelajar membina kepakaran, karakter, kemahiran komunikasi dan keberanian untuk bersaing, selain menggunakan kejayaan yang dicapai bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
“Jangan sekadar mengejar kelayakan. Pilih bidang yang diminati dan kuasailah bidang tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dunia masa hadapan memerlukan manusia yang benar-benar mempunyai ilmu dan kemahiran,” katanya.
“Apa juga pencapaian nanti, pastikan prinsip dan integriti tidak pernah dikorbankan,” katanya.
Masidi berkata, anak-anak Sabah perlu berani keluar daripada zon selesa dan yakin untuk bersaing di peringkat lebih luas.
“Pergilah sejauh mana yang kamu mampu. Capailah setinggi mana yang kamu impikan. Tetapi apabila kamu sudah sampai di atas, jangan lupa menoleh ke belakang dan menghulurkan tangan kepada mereka yang masih dalam perjalanan,” katanya.
Beliau berharap dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, graduan MRSM Ranau dapat tampil sebagai golongan profesional, saintis, pendidik, usahawan dan pemimpin yang menyumbang kembali kepada masyarakat serta pembangunan Sabah.
































