Jamawi (tiga dari kanan) meninjau keadaan jalan alternatif yang telah siap itu bersama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew (dua dari kanan) dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tenom, Jabansyah Shahdan (kanan) dan Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas (kiri).
TENOM: Jalan alternatif yang menghubungkan Jalan RTM, Kampung Bunut dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom siap sepenuhnya dan akan dibuka kepada orang ramai mulai esok (5 Oktober).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, jalan berkenaan dibina sebagai laluan alternatif bagi memudahkan pergerakan orang ramai serta mengurangkan kesesakan di laluan utama, khususnya pada awal pagi musim persekolahan.
Beliau yang juga ADUN Melalap berkata, kesesakan sering berlaku di laluan berhadapan Sekolah Menengah (SM) St Anthony, SM Chung Hwa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chung Hwa.
“Jalan alternatif ini diusahakan pembinaannya sebagai kemudahan kepada orang ramai dan bagi mengelakkan kesesakan di laluan jalan utama berhadapan SM St Anthony, SM Chung Hwa dan SK Chung Hwa pada awal pagi musim persekolahan.
“Jalan ini hanya dibuka untuk kenderaan ringan dan secara sehala sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamawi melihat keadaan jalan alternatif itu.
Jamawi berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk menyambungkan laluan alternatif itu sehingga ke persimpangan Kampung Kalang pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kita sedang berusaha supaya laluan alternatif ini dapat disambungkan sehingga ke persimpangan Kampung Kalang kelak,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan pembinaan jalan alternatif berkenaan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dalam melaksanakan jalan alternatif ini. Semoga ia memudahkan urusan kalian seharian,” katanya.
Pembukaan laluan alternatif itu dijangka memberi kemudahan kepada penduduk setempat, khususnya pengguna jalan raya dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi.
































