Masidi dan Jamawi bersama wakil agensi berkaitan dalam perjumpaan tersebut.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengadakan perjumpaan khas bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar bagi membincangkan perkara-perkara keutamaan kementerian berkenaan.
Masidi berkata, perbincangan itu meneliti status semasa pelaksanaan projek-projek di bawah MAFFI, selain mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
“Penyelarasan antara MAFFI dan Kementerian Kewangan (MOF) Sabah penting bagi memastikan perkara yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika perjumpaan tersebut di bilik mesyuarat MOF, baru-baru ini.
Masidi berkata, pembangunan sektor pertanian, perikanan dan perindustrian makanan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan perlu diperkukuh supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Sabah kekal komited menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu penting dalam memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.






























