KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam dan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di salah sebuah daerah di negeri ini.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024 dan 2025 serta dipercayai menerima wang rasuah secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek akan dituduh pada 28 September 2026 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.
































