KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mengadakan beberapa program sempena Persidangan Perwakilan Tahunan ke-41 dari 24 hingga 26 September 2026, yang akan memuncak dengan persidangan utama di Dewan Hakka, Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, program selama tiga hari itu akan menghimpunkan kepimpinan parti, Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Bahagian, perwakilan serta wakil sayap Pemuda dan Wanita PBS dari seluruh Sabah.
Pada 25 September 2026, Persidangan Perwakilan Tahunan ke-41 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBS akan diadakan di Dewan Hakka, Likas.
Majlis perasmian dijadual dihadiri Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, bersama Ketua Wanita PBS, Datin Seri Malianah Ugau, Ketua Pemuda PBS, Datuk Dr. Christopher Mandut, barisan pemimpin kanan parti dan para perwakilan.
Program itu akan merangkumi nyanyian lagu patriotik, bacaan doa, lafaz ikrar, ucapan kepimpinan Wanita dan Pemuda serta ucapan perasmian oleh Pemangku Presiden PBS.
Pada malam 25 September, PBS turut akan menganjurkan Majlis Makan Malam Bersatu di Dewan Hakka, yang menghimpunkan pemimpin dan anggota parti dalam semangat silaturahim dan perpaduan menjelang persidangan utama pada hari berikutnya.
Acara utama akan berlangsung pada Sabtu, 26 September 2026, dengan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-41.
Para perwakilan dan pemerhati dari Bahagian PBS di seluruh Sabah dijangka tiba seawal pagi, diikuti barisan kepimpinan kanan parti.
Persidangan akan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, diikuti Ucapan Dasar dan perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-41 oleh Dr. Joachim.
Sidang media turut dijadualkan pada jam 11.45 pagi sebelum persidangan perwakilan diteruskan pada jam 1.30 petang.
Agenda persidangan merangkumi pembentangan Laporan Setiausaha Agung dan Laporan Bendahari Agung, pertimbangan usul, perbahasan ucapan dasar serta perkara berkaitan organisasi dan kepimpinan parti.
Joniston berkata, persidangan tahunan ke-41 itu turut menjadi platform penting bagi para perwakilan membincangkan perkara berkaitan parti serta memperkukuh organisasi dan hubungan antara kepimpinan pusat dengan Bahagian PBS di seluruh Sabah.
Persidangan dijangka berakhir kira-kira jam 5 petang dengan ucapan penggulungan dan penangguhan persidangan.
































