Hajiji mempengerusikan mesyuarat MTS hari ini. Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ewon Benedick.
KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kuasa kawal selia bagi elektrik dan tenaga boleh baharu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini dapat bertindak lebih pantas menangani isu serta meningkatkan sistem bekalan elektrik tanpa perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.
“Sebelum ini, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melakukannya sendiri dan menambah baik sistem bekalan elektrik dengan cepat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bagi elektrik dan tenaga boleh baharu selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 pada 3 Januari 2024.
Setahun sebelumnya, Sabah mengambil alih kawal selia bekalan gasnya.
Hajiji berkata, margin rizab penjanaan elektrik Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini, meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 dan 19 peratus setakat Ogos tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.
Katanya, peningkatan itu hasil pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi menambah baik sistem grid.
Hajiji berkata, usaha memperkukuh sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memastikan infrastruktur penghantaran dan pengagihan bersedia bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta daya tahan sistem.
“Ini selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah (SE-RAMP 2040), selain sasaran mencapai campuran kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 50 peratus menjelang 2035,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTS ialah semakan Kajian Unjuran Permintaan Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Kuasa (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun akan datang bagi memastikan perancangan kapasiti terus memenuhi keperluan permintaan tenaga.
Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur, Hajiji berkata, cadangan pembangunan loji janakuasa berasaskan gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji janakuasa berasaskan diesel dan Minyak Bahan Api Sederhana (MFO) yang berkos tinggi.
Beliau berkata, penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif, turut menyokong usaha memperkukuh sistem penjanaan.
Katanya, projek LSS dan BESS itu juga khusus bagi meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan di Pantai Timur.
“Setiap keputusan Majlis Tenaga Sabah mesti dibuat secara seimbang dan berhemah, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri, akan terus memantau pelaksanaan projek yang diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberikan manfaat ketara kepada kebolehpercayaan sistem.






























