Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin memandang serius kejadian membabitkan seorang pelancong China di sebuah resort di Semporna.
Beliau berkata, keselamatan dan sekuriti setiap pelawat ke Sabah mesti kekal sebagai keutamaan tertinggi, selain menyambut baik tindakan pantas polis menahan seorang suspek berhubung kejadian itu.
“Saya mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan akan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Jafry berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan berkaitan supaya segera meneliti penginapan terbabit, termasuk status pelesenan serta langkah keselamatan dan sekuritinya.
Katanya, pihak berkuasa pelancongan juga akan menyelaras dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya diperlukan.
“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti mesti ditangani tanpa berlengah. Pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan premis mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk tetamu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jafry berkata, Sabah tidak akan berkompromi mengenai keselamatan pelawat ketika negeri itu menuju ke arah Visit Sabah 2027.
“Sabah mesti terus menjadi destinasi di mana pelawat berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” katanya.






























