Hajiji (enam dari kanan) bersama perwakilan BEBC dan BIMP-EAGA.
KOTA KINABALU: Ahli-ahli Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) dan delegasi BIMP-EAGA mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bagi meneroka peluang perdagangan dan pelancongan di Sabah di Menara Kinabalu di sini kelmarin.
Delegasi BEBC berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarahnya bersempena dengan Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026).
Delegasi itu diketuai Datuk Susan Chang yang mewakili BEBC Malaysia, Dr. Raymond Alfred (BEBC Malaysia Sabah), Nobel Pang (BEBC Malaysia Sarawak) dan Azhar Othman (BEBC Malaysia Labuan).
Turut bersama ialah delegasi Indonesia yang diketuai Naib Pengerusi bagi Diplomasi Pelbagai Hala (BIMP-EAGA), Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN Indonesia), Andi Anzhar Cakra Wijaya yang diiringi Ira Kusumawardani dari KADIN Jakarta.
Delegasi Filipina pula terdiri daripada Naib Presiden Mindanao (BIMP-EAGA), Dewan Perniagaan dan Industri Filipina, Joji Bian, serta Elian Macala dari Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) mewakili BEBC Filipina. BEBC Brunei Darussalam diwakili Pengiran Dr. Haji Haris Pg. Hj. Duraman dan Haji Alimen Hj. Jaafar.




























