Dr. Aslie (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Abidin (empat dari kiri) semasa kunjungan itu.
KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) menyatakan kesediaan untuk terus menyumbang pengalaman, ilmu pengetahuan dan kepakaran ahlinya bagi menyokong pembangunan pendidikan serta masyarakat Sabah.
Perkara itu disampaikan ketika kunjungan hormat PMPS diketuai Presidennya, Dr. Aslie Sahat kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung PMPS, Alli Majittaba, serta ahli delegasi Ak. Jiar Pg. Duraman, Maznah Abd. Ghani dan Ag. Sani Anong.
Kunjungan itu antara lain bertujuan menyampaikan ucapan tahniah kepada Abidin atas pelantikan beliau sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, selain mendoakan agar beliau diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keupayaan dalam menerajui JPNS.
Dalam pertemuan itu, PMPS turut memperkenalkan matlamat, peranan dan aktiviti persatuan, khususnya usaha menghimpunkan pengalaman, ilmu pengetahuan serta kepakaran mantan pendidik untuk terus disumbangkan kepada pembangunan pendidikan dan masyarakat Sabah.
Aslie berkata, persaraan daripada perkhidmatan tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada sumbangan seseorang pendidik dalam dunia pendidikan.
Menurutnya, mantan pendidik mempunyai pengalaman dan kompetensi yang luas serta masih mampu memberikan nilai tambah kepada sektor pendidikan sekiranya kepakaran berkenaan dapat disalurkan secara terancang dan strategik.
Antara bidang kepakaran yang ditawarkan PMPS untuk dimanfaatkan ialah perkongsian ilmu dan pengalaman, pembangunan profesional serta kompetensi warga pendidikan, kepimpinan dan pengurusan organisasi, digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI), pengurusan berasaskan ISO 9001:2015 dan kitaran PDCA, selain bimbingan kepada sekolah dan komuniti pendidikan.
PMPS turut menyatakan kesediaan menyumbang dalam pelbagai program pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan yang bersesuaian dengan kepakaran serta pengalaman ahlinya.
Pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha membina hubungan strategik dan kerjasama antara PMPS dengan JPNS dalam menyokong aspirasi, objektif dan misi pendidikan negeri Sabah.
Sehubungan itu, PMPS mencadangkan agar kerjasama kedua-dua pihak diteruskan melalui penganjuran seminar, bengkel, forum, sesi perkongsian ilmu dan program pembangunan kepakaran pada masa akan datang.
Kerjasama berkenaan diyakini mampu mewujudkan platform yang lebih tersusun bagi memanfaatkan pengalaman serta kepakaran mantan pendidik dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Sabah.
PMPS berharap kunjungan hormat itu menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan dengan JPNS, khususnya bagi memastikan pengalaman serta khidmat bakti mantan pendidik terus memberi manfaat kepada generasi pendidik, murid dan masyarakat Sabah.


































