KOTA KINABALU: Semua enam stesen pengawasan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Nor Rashidah Binti Mohd Ghazali berkata, bacaan IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS pada jam 5 petang menunjukkan Stesen Kota Kinabalu mencatat 172, Politeknik (178), Kimanis (171), Keningau (174), Tawau (102) dan Sandakan (145).
“Kesemua enam stesen mencatatkan bacaan tidak sihat, dengan bacaan tertinggi direkodkan di Stesen Politeknik iaitu 178,” katanya dalam kenyataan media mengenai status kualiti udara dan jerebu di Sabah, hari ini.
Menurut Nor Rashidah, kualiti udara di Sabah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
Katanya, asap tebal daripada kebakaran berkenaan dipercayai dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dilaksanakan pegawai JAS pada 2 September, tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
“Menurut laporan ASMC yang berpusat di Singapura pada 1 September melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, tiada sebarang titik panas (hotspot) dikesan di Sabah.
“Laporan yang sama menunjukkan sebanyak 943 titik panas yang masih aktif dikesan di Kalimantan dan 133 di Sumatera bagi cerapan 1 September 2026,” katanya.
Nor Rashidah berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU antara 101 hingga 200 menunjukkan tahap tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya dan 400 hingga 500 atau lebih sangat bahaya.
Beliau berkata, berikutan keadaan cuaca panas dan kering, JAS sentiasa bersiap siaga meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka.
Katanya, JAS turut memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pada 2 September 2026, rondaan harian telah dilaksanakan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau dengan memberikan tumpuan kepada kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara sedia ada.
“Setakat ini, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan,” katanya.
Nor Rashidah turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di Play Store.
Orang ramai juga dinasihatkan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.
“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Orang ramai turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.


































