Anwar (left) bertemu Hajiji (kanan) dan Abang Johari (tengah) sejurus tiba di Bandar Seri Begawan.
BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konsultasi Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman di sini hari ini.
Ketua Menteri turut menghadiri mesyuarat pramajlis ALC-27 di The Empire Hotel kelmarin yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mengiringi Hajiji dari Sabah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari.
Selepas ALC-27, pertemuan empat mata diadakan antara Anwar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Muiz’zaddin Wad’daulah.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan instrumen dua hala turut ditandatangani, diikuti jamuan tengah hari rasmi bagi meraikan Perdana Menteri.


































