Ewon (tengah) bercakap pada sidang media itu.
PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mahu Perjanjian Petronas 1976 yang menetapkan pembayaran royalti minyak kepada Sabah disemak semula sekiranya benar perjanjian itu tidak pernah dibincangkan atau mendapat persetujuan Kerajaan Sabah.
Beliau berkata, UPKO mengambil perhatian serius terhadap pendedahan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan bahawa Perjanjian Petronas 1976 yang memberikan Sabah hanya lima peratus royalti minyak tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah.
“Kalau betullah ianya tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet ataupun tidak pernah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah, UPKO mendesak supaya Perjanjian Petronas mesti disemak semula,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.
Ewon berkata, UPKO tidak bersetuju dengan pandangan bahawa isu minyak dan gas merupakan bidang kuasa Persekutuan semata-mata hanya kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah diluluskan di Parlimen.
Menurutnya, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah seharusnya mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah.
“Pendirian kita, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, UPKO turut menuntut pelaksanaan pembayaran penuh 40 peratus hasil kepada Sabah dan berpandangan pembayaran interim yang diterima ketika ini hanyalah langkah sementara.
“Interim itu, pembayaran interim hanyalah langkah sementara sahaja. Itu tidak harus sampai bila-bila. Interim maksudnya sementara,” katanya.
Beliau berkata, alasan berkaitan konflik atau peperangan di negara lain tidak seharusnya menjadi sebab untuk melambatkan pembayaran penuh 40 peratus kepada Sabah kerana rakyat dan syarikat yang beroperasi di negeri ini tetap membayar cukai, manakala hasil negeri terus dikutip.
Sehubungan itu, Ewon berkata, UPKO mencadangkan pendekatan yang pernah dilaksanakan pada awal 1960-an ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, iaitu 40 peratus daripada pungutan hasil Persekutuan dikekalkan di Sabah dan disalurkan terus kepada Kerajaan Sabah, manakala 60 peratus dimasukkan ke dalam akaun hasil Kerajaan Persekutuan.
“Ini boleh dibincang cara mekanismenya. Kalau dulu Singapura boleh buat begitu semasa masih berada dalam Persekutuan Malaysia, saya tidak melihat ianya sukar dilaksanakan,” katanya.
Ewon berkata, pendirian berhubung perkara itu akan dibahaskan oleh perwakilan UPKO dan sekiranya dipersetujui, beliau akan membawa mandat tersebut untuk dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pimpinan tertinggi GRS serta Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara itu, Ewon berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan termasuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua wilayah berkenaan.
“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini, dan boleh menjadi kingmaker sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Ewon berkata, peranan kedua-dua wilayah itu tidak seharusnya diperkecilkan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata, UPKO turut membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti serta menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya memperhebatkan kerja di lapangan.
Beliau berkata, bagi pembahagian kerusi, UPKO akan berunding dengan parti-parti dalam GRS apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
“Manakala perkara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS.
































