Hajiji bersama anggota MTPNg sebelum mesyuarat bermula.
KOTA KINABALU: Sebahagian isu yang menjejaskan rakyat dan dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini perlu diselesaikan dengan segera menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dan berkos rendah atau “low hanging fruit”, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan berkenaan ialah keperluan asas rakyat termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, banjir dan sistem perparitan, pendidikan serta perkara lain.
“Semua isu ini berkaitan dengan keperluan harian rakyat dan sebahagiannya boleh diselesaikan menerusi pelaksanaan projek ‘low-hanging fruit’.
“Saya ingin menegaskan semula kepentingan melaksanakan projek ‘low-hanging fruit’ sebagai pemangkin strategik kepada pembangunan Sabah.
“Walaupun projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek ‘low-hanging fruit’ ini mampu memberikan impak segera yang dapat dirasai rakyat dan kerajaan dalam tempoh lebih singkat,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji mahu semua isu yang menjejaskan pelaksanaan projek-projek kecil diselesaikan segera bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual.
“Rakyat mempunyai harapan yang tinggi untuk menikmati manfaat pembangunan tanpa sebarang kelewatan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini hari ini.
“Saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya terus memperkukuh komitmen, meningkatkan kerjasama serta menambah baik penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, sistematik dan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat MTPNg perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform untuk perbincangan yang konstruktif, berorientasikan penyelesaian dan tindakan supaya setiap isu pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap agenda pembangunan nasional dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan setiap dasar, program dan projek pembangunan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Sabah.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0, pelaksanaan projek pembangunan perlu terus diperkukuh menerusi penyelarasan yang lebih sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan dan agensi pelaksana.
“Bagi merealisasikan aspirasi ini, semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu terus memperkukuh kerjasama dan komunikasi antara agensi, di samping mengoptimumkan perkongsian maklumat serta amalan terbaik.
“Saya yakin menerusi komitmen dan sinergi yang kukuh, kita akan dapat memastikan setiap projek pembangunan disiapkan, sekali gus mempercepatkan kemajuan Sabah serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri-Menteri Kabinet Negeri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Mesyuarat MTPNg itu turut dihadiri buat pertama kali oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu dilantik, Datuk Zainudin Aman bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab dan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Sabah, Datuk Samsul Dollah.
































