Isnin (duduk, tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dan para peserta Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Labuan Ke-50.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memacu kecemerlangan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu meningkatkan prasarana pendidikan serta kebajikan warga sekolah di seluruh negeri.
“Ini adalah komitmen kita bagi memastikan pendidikan kekal sebagai pemangkin utama kemajuan negeri,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Labuan Ke-50 di Hotel Klagan Regency, 1Borneo Hypermall, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.
“Ini termasuk meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025. Langkah ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) atas kejayaan menganjurkan konvensyen berkenaan.
Katanya, beliau amat menyokong usaha PPSMS menjadikan konvensyen itu sebagai wadah utama melahirkan pemimpin organisasi yang sentiasa peka terhadap dinamika dunia pendidikan semasa.
“Kita sedia maklum bahawa kepimpinan pengetua merupakan faktor penentu utama kejayaan dasar transformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkongsian ilmu dan sinergi seperti inilah yang menjadi pemangkin bagi memastikan kualiti pendidikan kita terus mencapai kecemerlangan.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada para pengetua atas kejayaan meningkatkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) daripada angka lima kepada angka empat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Begitu juga dengan peningkatan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025. Kejayaan mencatatkan nilai GPN 4.85 merupakan pencapaian akademik terbaik dalam sejarah negeri Sabah setakat ini.
“Sesungguhnya, para pengetua dan guru yang berjuang di lapangan merupakan nadi dan watak terpenting di sebalik setiap rantaian kejayaan ini,” katanya.
Menurut Hajiji, tema konvensyen kali ini, “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035”, merupakan satu seruan bertindak yang menuntut anjakan paradigma secara menyeluruh.
“Para pengetua bukan sekadar pentadbir, tetapi juga arkitek utama kepada masa hadapan pendidikan negara. Dekad ini menuntut kita memimpin dengan visi yang berani. Kita perlu memacu inovasi digital, memperkukuh jati diri murid dan melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, RPM 2026-2035 merupakan kesinambungan dasar Kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara agar kekal relevan, memenuhi tuntutan semasa serta bersifat terangkum.
Katanya, rancangan itu digubal sebagai kompas strategik bagi memastikan sistem pendidikan negara terus berdaya saing dan berpaksikan nilai kemanusiaan dalam mendepani cabaran dekad akan datang.
“Ia menjadi pernyataan hala tuju negara yang mengiktiraf pendidikan sebagai hak asasi untuk semua, selain menjadi antara pemacu utama kepada kemajuan sosial dan ekonomi negara,” katanya.


































