PUTRAJAYA: Sabah terus mengekalkan lebihan dagangan sebanyak RM9.9 bilion pada 2025 meskipun jumlah perdagangan negeri itu menguncup 2.1 peratus kepada RM105.5 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam penerbitan Statistik Perdagangan Luar Sabah 2026 memaklumkan, pencapaian itu sekali gus mengekalkan prestasi perdagangan Sabah melebihi paras RM100 bilion bagi empat tahun berturut-turut.
Menurut DOSM, jumlah eksport Sabah pada 2025 bernilai RM57.7 bilion, susut 5.9 peratus berbanding RM61.3 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Pada masa sama, import meningkat 2.8 peratus kepada RM47.8 bilion berbanding RM46.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Walaupun lebihan dagangan menurun 33.3 peratus daripada RM14.9 bilion pada 2024 kepada RM9.9 bilion pada 2025, prestasi perdagangan Sabah terus menunjukkan daya tahan yang kukuh di sebalik ketidaktentuan ekonomi global serta permintaan yang sederhana terhadap beberapa komoditi utama.
Dari segi komoditi, petroleum mentah kekal sebagai penyumbang terbesar eksport Sabah dengan nilai RM17.1 bilion atau 29.7 peratus daripada jumlah eksport negeri.
Ia diikuti minyak sawit bernilai RM16.8 bilion (29.2 peratus) dan gas asli cecair (LNG) sebanyak RM4.6 bilion (8.1 peratus).
Bagaimanapun, eksport petroleum mentah menurun 19.6 peratus manakala eksport minyak sawit susut 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sebaliknya, eksport LNG mencatatkan peningkatan 2.0 peratus.
Bagi import pula, produk petroleum ditapis merupakan komoditi utama yang diimport dengan nilai RM4.8 bilion, diikuti baja keluaran kilang bernilai RM1.1 bilion.
DOSM turut memaklumkan bahawa statistik perdagangan luar Sabah merangkumi urus niaga perdagangan antara wilayah melibatkan Semenanjung Malaysia dan Sarawak berdasarkan pergerakan fizikal barangan melalui pintu masuk dan keluar di Sabah.
Dari segi rakan dagang utama, Semenanjung Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Sabah berdasarkan jumlah nilai perdagangan yang direkodkan.

































