Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Kompleks Sukan Membakut telah disenaraikan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementeriannya kini sedang merancang langkah seterusnya termasuk proses pewartaan tanah yang telah dikenal pasti untuk projek berkenaan.
“Pembinaan Kompleks Sukan Membakut telah disenaraikan di bawah projek pembangunan RMK13.
“Perancangan kementerian seterusnya adalah untuk pewartaan tanah yang telah dikenal pasti bagi projek ini,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusof mengenai cadangan pembinaan kompleks sukan di daerah Membakut, termasuk status perancangan, anggaran kos dan tempoh pelaksanaannya.
Nizam berkata, anggaran kos sebenar serta tempoh pelaksanaan projek hanya dapat diperincikan selepas semua prosedur yang diperlukan dipatuhi.
Beliau berkata, ia termasuk proses pengambilan tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan keperluan teknikal lain yang berkaitan.
Sementara itu, menjawab satu lagi soalan berkaitan cadangan pembinaan Mini Kompleks Sukan Sungai Manila, Nizam berkata, kementerian akan mempertimbangkan cadangan tersebut di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia yang akan datang.
Katanya, cadangan itu tertakluk kepada ketersediaan tapak tanah yang sesuai serta kelulusan peruntukan oleh kerajaan.
“Cadangan pembinaan Mini Kompleks Sukan Sungai Manila akan dipertimbangkan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia yang akan datang, tertakluk kepada ketersediaan tapak dan kelulusan peruntukan,” katanya.
































