Tun Musa (tengah) bergambar bersama rombongan DBP Cawangan Sabah.
KOTA KINABALU: Seramai 30 penulis dan karyawan bakal menerima pengiktirafan melalui Hadiah Sastera Sabah pada Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA).
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Jennitah Noordin berkata, majlis yang akan diadakan pada 11 September sebagai usaha menghargai karya kreatif serta menyokong perkembangan dunia sastera di negeri ini.
“Penyampaian Hadiah Sastera Sabah melibatkan 10 kategori dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM37,000.
“Antara kategori yang dipertandingkan ialah novel dewasa, novel remaja, novel kanak-kanak, kumpulan cerpen, kumpulan esei kritikan, buku bergambar kanak-kanak, eceran puisi, eceran cerpen, eceran esei kritikan sastera dan eceran drama pentas.
“Selain itu, pada majlis itu juga akan disampaikan Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-5 yang merupakan pengiktirafan tertinggi kepada tokoh sastera negeri,” katanya semasa ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Menurut Jennitah, penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-5 akan menerima wang tunai RM30,000, selain karya mereka diberi keutamaan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing bagi memperluaskan penyebaran dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Pengarah I DBP, Julianah Kuli dan Timbalan Pengarah II DBP, Zaidi Ismail.
































