Suasana ketika kunjungan sedang berlangsung.
KOTA KINABALU : Masyarakat di negeri ini digesa memahami sejarah pembentukan negara Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pemahaman sejarah penting agar rakyat dapat menghayati signifikan di sebalik sambutan dua perayaan tersebut yang diraikan serentak pada 31 Ogos ini.
“Kalau kita gabungkan signifikan kedua-dua perayaan ini, kita akan membuat kesimpulan bahawa kewujudan Malaysia bermula dengan kemerdekaan Sabah.
“Kemerdekaan Sabah dicapai rentetan daripada rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, amat penting bagi setiap rakyat untuk memahami lembaran sejarah negara ini,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Masidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, memaklumkan bahawa kunjungan tersebut bertujuan untuk menjemput secara rasmi Tun Musa bagi menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan dan juga Hari Sabah pada 31 Ogos ini.
Dalam pada itu, beliau mengulas mengenai pengisian sambutan program Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Bandaraya pada sebelah pagi.
“Setakat ini 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian, termasuklah kontinjen beruniform, tidak beruniform, kontinjen daripada sekolah-sekolah dan juga persatuan-persatuan.
“Perarakan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam dan kita harapkan akan tamat pada jam 11:00 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sambutan Hari Sabah akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada golongan belia dan generasi muda.
“Persembahan pada malam 31 Ogos bagi sambutan Hari Sabah akan berkisar kepada tema melihat ke hadapan, peranan orang muda dan bagaimana membawa negeri ini ke arah yang lebih gemilang.
“Kita memikirkan bahawa sebenarnya generasi muda inilah penentu kepada kecemerlangan dan kegemilangan Sabah,” tambahnya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong Chen Bin, Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah.
































