Jamawi (kanan) dan Joniston (kiri) memegang anak pokok yang akan diserahkan kepada peserta yang hadir.
KIULU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menggesa agar syarat kelayakan Program BUDI Diesel dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan.
Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan oleh golongan berkenaan ialah mereka tidak layak memohon subsidi diesel tersebut kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana sebahagian pengusaha, khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan yang ditawarkan syarikat dan bukannya institusi perbankan.
“Kita sedia maklum bahawa hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut BUDI Diesel.
“Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu hari ini.

Jamawi (tiga dari kanan), Joniston (tengah) bergambar bersama dengan kakitangan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Jamawi berkata, terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun nama kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum dapat dipindah milik kepada pengguna sebenar.
“Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terlibat dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.
“Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan serta menyalurkan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.
“Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog dan menyampaikan isu ini kepada Kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian dapat terus dibantu dan diperkasakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan memperkenalkan konsep Kebun Dapur di sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan dalam kalangan murid.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah susulan permintaan supaya konsep Kebun Sekolah diwujudkan berasaskan pendekatan Kebun Dapur.
“Kita mahu anak-anak memahami kepentingan makanan dan keterjaminan makanan sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Melalui inisiatif ini, mereka bukan sahaja dapat menghargai tanaman di sekeliling mereka, malah hasil yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah,” katanya.
Menurutnya, cadangan itu menerima maklum balas positif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang tersedia.

Jamawi (empat dari kanan), Joniston (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan kakitangan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC).
Mengulas mengenai Program Kebun Dapur, Jamawi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 3,000 pengusaha kecil telah mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta.
“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial.
“Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata, anugerah itu berkemungkinan diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung di Tenom pada September ini.
Pada masa sama, Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan budaya berkebun di kawasan rumah, malah memastikan maklumat mengenai pelbagai bantuan kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.
“Banyak program bantuan disediakan oleh kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya, tetapi kadangkala maklumat itu tidak sampai kepada rakyat. Sebab itu jelajah ini penting supaya setiap petani, penternak dan nelayan mengetahui peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.
Turut hadir ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awg. Dzulkernain Awg. Hassan; Pengurus Besar KO-NELAYAN, Datuk Haji Yusof Haji Ag Besar; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa, Pegawai – pegawai Jabatan dan agensi serta pemimpin setempat.
































