Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Penasihat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0, Datuk Zulkarnain Mahdar memberi jaminan bahawa Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 yang dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Julai di Dataran Deasoka di sini akan diadakan dalam suasana aman, tertib serta mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, pihak penganjur menyambut baik kebenaran yang diberikan oleh PDRM bagi penganjuran perhimpunan tersebut dan menghargai kerjasama pihak berkuasa dalam memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, pihak penganjur komited untuk mematuhi sepenuhnya semua syarat yang telah ditetapkan serta akan bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang program berlangsung.
“Kami memberi jaminan bahawa semua syarat yang telah ditetapkan akan dipatuhi sepenuhnya.
“Saya juga berharap semua peserta dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis, mematuhi segala peraturan yang ditetapkan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkarnain berkata, Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 bukan sahaja bertujuan menghimpunkan rakyat Sabah secara aman, malah menjadi platform bagi rakyat menyuarakan pandangan mengenai isu-isu yang melibatkan kepentingan negeri.
Katanya, perhimpunan itu dijangka disertai kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat Sabah.
Menurut beliau, peserta akan berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, menzahirkan kecintaan terhadap Sabah serta mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung dakwaan kes rasuah yang didakwa membabitkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Beliau berkata, perhimpunan itu juga bertujuan memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka secara aman mengikut saluran yang dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam pada itu, Zulkarnain memaklumkan bahawa semua peserta digalakkan memakai pakaian berwarna hitam sebagai tema rasmi Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0.
Katanya, warna hitam dipilih sebagai simbol perpaduan, solidariti dan kesungguhan rakyat Sabah dalam menyuarakan aspirasi mereka secara aman, selain melambangkan komitmen bersama dalam memperjuangkan kepentingan negeri.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah yang hadir agar menunjukkan disiplin yang tinggi, menghormati arahan pihak polis serta bersama-sama memastikan perhimpunan berlangsung dengan aman, teratur dan penuh tanggungjawab.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 akan menjadi satu himpunan yang matang, aman dan berhemah, sekali gus membuktikan bahawa rakyat Sabah mampu menyuarakan pandangan mereka mengikut saluran yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.
































