Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kerana terus melaksanakan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah tidak tepat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Kerajaan tidak pernah berpendirian bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah tersebut, sebaliknya ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut beliau, dasar Kerajaan sejak awal adalah melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui pendekatan bersasar, iaitu subsidi diteruskan tetapi diagihkan secara lebih tepat kepada golongan yang memerlukan.
“Dasar subsidi akan diteruskan dengan mekanisme pengagihan secara bersasar, dan pelaksanaannya perlu dirangka dengan teliti serta dilaksanakan secara berperingkat kerana ia melibatkan pembaharuan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Armizan menjelaskan, Kerajaan telah memulakan langkah tersebut pada 2024 melalui penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, diikuti penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara pada 2025.
Katanya, kedua-dua agenda itu berjalan lancar dan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti kerangka cadangan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Setelah mekanisme dimuktamadkan, ia akan dibawa untuk perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, asas pelaksanaan tersebut adalah memastikan subsidi diesel terus diberikan, tetapi secara bersasar bagi menangani risiko ketirisan termasuk penyelewengan dan penyeludupan.
Armizan berkata, Kerajaan telah mempunyai beberapa model penyaluran subsidi bahan api seperti BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang boleh dijadikan panduan.
Katanya, kaedah-kaedah tersebut akan membantu memuktamadkan mekanisme terbaik dengan mengambil kira keunikan keadaan di Sabah, Sarawak dan Labuan serta pandangan pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa persepsi kononnya subsidi diesel tidak diberikan langsung kepada Semenanjung Malaysia adalah tidak tepat.
“Subsidi diesel terus disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI kepada sektor pengangkutan darat, barangan serta segmen masyarakat tertentu,” jelasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya selepas pelaksanaan di Semenanjung kerana beberapa faktor.
Antaranya termasuk kebergantungan tinggi penduduk kepada diesel, faktor geografi serta jurang harga barangan keperluan asas yang ketara berbanding Semenanjung Malaysia.
Tambahnya, kos pengangkutan barangan melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada jurang harga akibat kos logistik dan kebergantungan kepada import.
































