KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru agar memberi perhatian lebih serius terhadap penjagaan kesihatan, khususnya dengan lebih berwaspada terhadap pemakanan harian, ketika penyakit buah pinggang terus menjejaskan semakin ramai keluarga di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, banyak penyakit serius sebenarnya boleh dicegah sekiranya orang ramai lebih peka terhadap gaya hidup seharian dan tabiat pemakanan mereka.
Beliau berkata, soal kesihatan tidak seharusnya hanya menjadi perhatian apabila seseorang itu jatuh sakit, sebaliknya perlu dijaga lebih awal melalui kesedaran yang lebih tinggi, disiplin diri serta pilihan makanan yang lebih sihat.
Berucap pada Majlis Hari Raya Yayasan Buah Pinggang Sabah, Masidi turut mengumumkan bantuan khas kerajaan berjumlah RM100,000 kepada yayasan itu bagi menyokong usahanya membantu pesakit buah pinggang.
Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan dalam dua peringkat, dengan RM50,000 diserahkan terlebih dahulu, manakala baki RM50,000 lagi akan diberikan selepas yayasan menunjukkan perkembangan yang baik dalam melaksanakan peranannya.
Masidi berkata, penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan memandangkan ramai pesakit masih bergantung kepada rawatan hemodialisis untuk terus hidup.
Beliau berkata, Sabah ketika ini mempunyai kira-kira 460 mesin hemodialisis di hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada sekitar 2,400 pesakit, bermakna satu mesin dikongsi oleh kira-kira lima pesakit.
Menurut beliau, angka itu bukan sahaja mencerminkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan, tetapi juga beban yang ditanggung pesakit, khususnya mereka yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Yayasan Buah Pinggang Sabah supaya lebih proaktif dan strategik dalam memperluaskan perkhidmatan hemodialisis ke kawasan yang masih kekurangan kemudahan berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan yayasan bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
































