William (kanan) ketika membuat lawatan ke reruai pameran.
KOTA KINABALU: Data Sektor Perkhidmatan Kesihatan Sekolah Negeri Sabah pada 2025 merekodkan 12.4 peratus murid gagal ujian saringan penglihatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis berkata daripada jumlah tersebut, hanya 40.5 peratus daripada mereka hadir ke temujanji pemeriksaan lanjut bersama pegawai optometri.
“Keadaan ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata dan rawatan awal.
“Kita sedia maklum sebahagian besar masalah penglihatan boleh dicegah atau dirawat lebih awal sekiranya masyarakat mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala.
“Masalah seperti rabun, mata malas dan penyakit mata kronik sering kali tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal sehingga mencapai tahap yang lebih serius.
“Malangnya, ramai masih mengamalkan sikap tunggu sehingga teruk sebelum mendapatkan pemeriksaan, sikap ini harus kita ubah kerana kehilangan penglihatan boleh dicegah dengan rawatan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Optometri Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Hospital Queen Elizabeth I, pada Jumaat.
Tambah William, pendekatan proaktif, bersepadu dan berfokus kepada komuniti amat diperlukan bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima perkhidmatan penjagaan mata berkualiti.
“Di Sabah, faktor geografi, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan tahap literasi kesihatan memberi implikasi kepada pengesanan awal dan rawatan susulan bagi masalah penglihatan.
“Data kebangsaan menunjukkan rabun tidak dibetulkan dan katarak kekal sebagai penyumbang utama kepada masalah penglihatan.
“Selain itu, peningkatan kes rabun jauh atau myopia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga semakin membimbangkan,” ujarnya.
Tambah beliau, isu kesihatan mata masih menjadi cabaran kesihatan awam di peringkat global dan nasional.
“Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 2.2 bilion penduduk dunia mengalami masalah penglihatan.
“Kira-kira 80 peratus daripadanya boleh dicegah atau dirawat dengan rabun yang tidak dibetulkan dan katarak sebagai antara penyumbang utama,” katanya lagi.
Sementara itu, sambutan Hari Optometri Sedunia Peringkat Negeri Sabah menjadi platform mengiktiraf peranan penting profesion optometri dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Turut dilancarkan e-buku ‘Tentang Mata’ iaitu satu inisiatif pendidikan kesihatan dalam format digital yang dibangunkan oleh pegawai optometri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir sama, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, Ketua Profesion Optometri KKM, Nazirin Arsad, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi dan Jabatan Oftalmologi HQE, Dr Sheena Mary Alexander dan Ketua Bidang Optometri Negeri Sabah, Diana Mohamed.


































