Masiung Banah
KOTA KINABALU: Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan Kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global susulan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah menegaskan Kerajaan Pusat sepatutnya sudah menggariskan langkah jangka pendek dan sederhana bagi menghadapi kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
Menurut beliau, apabila harga minyak melambung naik, sudah tentu harga barangan keperluan termasuk bahan makanan turut meningkat.
“Jika Kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal.
“Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz.
Menurutnya, situasi itu menimbulkan kesan fiskal susulan kenaikan harga bahan mentah yang akhirnya memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal yang bersesuaian bagi menangani kesan peperangan tersebut.
Tambah beliau, kesan kenaikan harga bahan api dan barangan import sudah mula dirasai dalam kalangan rakyat.
Masiung berkata, sekiranya peperangan berlanjutan, Kerajaan perlu bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau turut menjangkakan tekanan kewangan terhadap Kerajaan akan meningkat, termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan.
Menurutnya lagi, keadaan boleh menjadi lebih kritikal apabila harga diesel meningkat kerana kos pengangkutan dan logistik juga akan naik, sekali gus memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan.
































