Hajiji mengiringi Tun Musa menyampaikan sumbangan tunai kepada golongan asnaf.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri Sabah, di sini hari ini.
Majlis bersempena 16 Ramadan 1447 Hijrah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman bersama Toh Puan Hajah Faridah Tussin.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih.
Majlis dimulakan dengan acara khatam al-Quran, diikuti penyampaian bantuan kepada golongan asnaf serta sesi Bicara Al-Quran.
Yang di-Pertua Negeri dan isteri turut menyampaikan sumbangan tunai kepada golongan asnaf, sebelum majlis diteruskan dengan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.


































