Bomba berjaya gagalkan cubaan terjun bangunan di Penampang. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya dipujuk oleh pasukan bomba selepas dipercayai cuba terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli belah di Donggongon, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian cubaan bunuh diri itu pada jam 5.19 petang melalui talian NG999.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bersama sebuah jentera Vigo kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.22 petang dan Komander Operasi melaporkan terdapat seorang mangsa dipercayai cuba terjun dari tingkat lima bangunan pusat beli belah di Donggongon.
“Pasukan bomba segera menjalankan usaha memujuk mangsa supaya tidak bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, mangsa akhirnya berjaya dipujuk oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan selamat.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang,” katanya.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Callixtus Fedilis.


































