KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) tahun ini memperkenalkan dua kategori baharu sempena Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 yang mula dibuka untuk penyertaan hari ini, 2 Mac.
Penambahan tersebut menjadikan KPA 2026 menawarkan lapan kategori keseluruhan, melibatkan penyertaan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dua kategori baharu berkenaan ialah Entertainment, Culture and Arts Photography Award serta Promising Journalist Award (Anugerah Wartawan Harapan), yang diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai wartawan muda.
Presiden SJA, Mariah Doksil berkata, pengenalan kategori baharu itu selaras dengan usaha memperluaskan skop pengiktirafan terhadap pengamal media di negeri ini.
“Melalui kategori baharu ini, kami bukan sahaja mahu memberi ruang kepada wartawan muda untuk menyerlahkan bakat, tetapi juga mengiktiraf peranan jurugambar dalam mempromosikan seni, budaya dan industri kreatif tempatan.
“KPA bukan sekadar platform pertandingan, sebaliknya medan untuk meningkatkan standard kewartawanan di Sabah agar setanding di peringkat nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Tarikh tutup penyertaan KPA 2026 ialah pada 15 Mac 2026 (Ahad). Sebagai penganjur, SJA mengalu-alukan penyertaan wartawan, jurugambar dan penerbit daripada media cetak, elektronik dan dalam talian di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Tahun ini, SJA sekali lagi melantik Malaysian Press Institute (MPI) sebagai Sekretariat Pengurusan Penyertaan dan Penghakiman KPA 2026.
Bagi mengekalkan prestij penganjuran KPA, setiap peserta digalakkan menghantar karya berimpak tinggi yang bukan sahaja layak dipertandingkan di peringkat KPA, malah berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM).
Penyertaan KPA 2026 hanya dibuka kepada laporan berita yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025. Semua penyertaan hendaklah dihantar secara dalam talian melalui laman web http://www.mpi.my/wp/award/kpa-2026.
Peserta dinasihatkan supaya tidak menggunakan iPhone, iPad atau pelayar web Safari ketika menghantar penyertaan. Sebaliknya, gunakan Google Chrome atau Microsoft Edge bagi mengelakkan sebarang isu teknikal dalam proses penghantaran.
Sebarang pertanyaan mengenai kategori, hadiah serta syarat dan peraturan pertandingan boleh dirujuk melalui pautan laman web yang disediakan atau diajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KPA 2026, Mohd Nazllie Zainul (013-8542972) atau Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin (019-8508059).
































