Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Daerr.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Daerr menegaskan bahawa Sabah mempunyai kedudukan penting dalam hubungan EU–Malaysia, selari dengan peranan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan komitmen Kesatuan Eropah untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah, berlandaskan hubungan baik dan penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan Sabah.
Berdasarkan keutamaan dan hala tuju Kerajaan Negeri itu, Hajiji dan Daerr turut bertukar pandangan mengenai kemungkinan kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, bukan sahaja meneruskan bentuk penglibatan sedia ada, malah meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
Perbincangan kedua-dua pihak itu turut menyentuh pendekatan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi, sejajar dengan visi pembangunan Sabah dan kepentingan bersama Kesatuan Eropah.
Terdahulu, Daerr menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara menyeluruh aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.

Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Choi.
Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republic Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu.
Kunjungan Choi itu adalah pertemuan pertamanya dengan Ketua Menteri selepas dilantik sebagai Konsul Republik Korea di Sabah pada November lalu.




























