Keadaan di lokasi kebakaran. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun ditemui meninggal dunia di ruang bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar, menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Menurut jurucakap itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum jentera bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai, dan tiba pada jam 11.16 pagi.
“Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 55 x 100 kaki, dengan keseluruhan kawasan kebakaran terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan, bersumberkan air daripada tangki jentera, dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.57 pagi.
“Semasa operasi, seorang mangsa perempuan yang juga OKU penglihatan ditemui rentung di dalam bilik rumah yang terlibat. Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 2.05 petang,” katanya.
Operasi pemadaman diketuai PBK I Asmaraie Noordanig selaku Komander Operasi, manakala PPgB Rastam Keladi, Ketua Balai BBP Semporna, bertindak sebagai Komander Operasi Kanan, dengan bantuan agensi lain termasuk PDRM, APM, RELA, SESB dan Jabatan Air.


































