LABUAN: Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) berjaya mengutip hasil lebih RM40 juta sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding RM39 juta lebih yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, JPDS merupakan antara jabatan dan agensi baharu yang diletakkan di bawah kementeriannya susulan penyelarasan portfolio pengangkutan di bawah kementerian berkenaan.
Menurutnya, JPDS berperanan sebagai badan kawal selia lalu lintas air dan pembangunan jeti awam, sekali gus menjadi antara penyumbang penting kepada hasil Kerajaan Negeri Sabah.
“JPDS bertanggungjawab mengawal selia lalu lintas air di kawasan had pelabuhan, dermaga, sungai, pantai serta kawasan pasang surut. Selain itu, jabatan ini menyediakan dan menyelenggara kemudahan seperti Dermaga Kerajaan, Jeti Awam, Jeti Tukar Barangan (Barter Trade Jetty) serta Terminal Pendaratan Penumpang,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke JPDS Labuan, di sini, kelmarin.
Dalam lawatan itu, Ewon bersama rombongan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut diberikan taklimat mengenai peranan, perkembangan semasa serta perancangan JPDS di seluruh Sabah oleh Pengarah JPDS, Maswandie Maimon.
Ewon turut menghargai inisiatif sedia ada serta perancangan pembangunan JPDS yang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pelanggan dan pemegang taruh.
Sementara itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), JPDS dijadual melaksanakan 23 projek dengan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak RM4.75 juta bagi tahun 2026.
Antara projek yang dirancang termasuk pembinaan bantuan pelayaran suar dan muar, pembinaan jeti terapung untuk kapal-kapal kecil, pembinaan bot malim, pengukuhan penguatkuasaan melalui kapal tunda serta kapal pemantau dan latihan, pembinaan menara sistem pemantauan trafik perkapalan dan radar, pembinaan terminal feri, kemudahan serta jeti tukar barangan (Barter Trade Jetty), selain pembinaan Kompleks Ibu Pejabat JPDS di Kimanis dan pembinaan semula kuarters kakitangan JPDS di Kota Kinabalu.
Taklimat disampaikan oleh Pengarah JPDS Maswandie Maimon.
Dalam lawatan kerja itu, Ewon dan rombongan turut mengunjungi perusahaan Pandikar Food, yang mengusahakan produk sambal garing berasaskan udang dan ikan.
Usahawan perusahaan itu berasal dari Tuaran, kini produknya berjaya menembusi pasaran Brunei.
Beliau mendoakan kejayaan berterusan kepada usahawan itu dan berharap pencapaian itu dapat menjadi inspirasi kepada usahawan lain.
Seterusnya, Ewon melawat outlet QCC Baked di Labuan.
Perusahaan itu bermula di Kompleks SEDCO dan pernah menerima bantuan di bawah Program Transformasi Usahawan Sabah.
Kini, perusahaan itu berkembang menjadi perniagaan francais dengan lapan outlet di Sabah, dua di Labuan dan lima di Semenanjung Malaysia.
Beliau bangga perkembangan usahawan Sabah dan berharap kejayaan itu dapat diteruskan serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan.
Turut serta dalam lawatan itu, Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) POIC Sabah, Datuk Fredian Gan, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Siti Nur’Ain Abdullah dan pegawai-pegawai MINDET.




























