KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif komited untuk segera membaiki kelemahan fasiliti sukan di seluruh negeri susulan penularan video di media sosial yang memaparkan keadaan uzur dewan gimnastik baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSS) telah diarahkan supaya meneliti perkara itu dengan segera bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan selesa dan selamat untuk digunakan atlet serta orang awam.
“Saya telah dimaklumkan mengenai aduan berhubung keadaan dewan gimnastik yang uzur. Saya juga telah meminta pihak pengurusan Lembaga Sukan meneliti perkara ini dan mengemukakan laporan segera kepada saya supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Borneo International Marathon 2026 Kota Kinabalu di Hotel Hyatt Centric, di sini, hari ini.
Menurut Nizam, kementeriannya akan memberi keutamaan kepada usaha membaiki kelemahan yang dikenal pasti, manakala fasiliti yang masih berada dalam keadaan baik akan terus dipertingkatkan.
“Saya sebagai menteri memberi komitmen untuk membaiki sebarang kelemahan, khususnya berkaitan fasiliti sukan, dan pada masa yang sama memastikan kemudahan yang baik terus diperkasakan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan mengadakan lawatan ke seluruh negeri bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti sedia ada, termasuk kemudahan yang digunakan oleh atlet pelapis.
“Beri saya sedikit masa. Saya akan turun ke seluruh Sabah untuk melihat sendiri keadaan fasiliti sukan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menegaskan bahawa kementeriannya bersama LSS akan terus berusaha memberikan yang terbaik demi pembangunan belia, kemajuan sukan dan pengukuhan ekonomi kreatif negeri.
“Saya menghargai sokongan kepimpinan Ketua Menteri yang turut memberi perhatian serius terhadap usaha memperkukuh sektor belia dan sukan, termasuk aspek penambahbaikan kemudahan atlet,” katanya.
Beliau menambah, kemudahan sukan yang selesa dan berkualiti bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti latihan, malah berupaya melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi untuk negeri dan negara.


























