Anwar merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah.
BUKIT BERUNTUNG, Selangor: Kerajaan MADANI terus memperkukuh jaminan bekalan makanan asas negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah kelmarin, satu inisiatif penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap bekalan gula yang diyakini, selamat dan mampu milik.
Majlis perasmian yang berlangsung di Bukit Beruntung itu menandakan pengiktirafan rasmi terhadap produk Gula Rahmah yang memenuhi keperluan kebersihan dan pematuhan halal, di samping mematuhi piawaian kawal selia yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pegawai Eksekutif HMBE Legacy Sdn. Bhd., Ahmad Badurol Hisham Mukhatar berkata, pensijilan halal Gula Rahmah merupakan elemen penting dalam membina keyakinan pengguna terhadap rantaian bekalan gula negara, khususnya bagi pasaran domestik.
“Pensijilan halal ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa Gula Rahmah bukan sahaja dikawal dari segi bekalan dan pengedaran, malah memenuhi keperluan asas kebersihan dan halal yang menjadi keutamaan pengguna,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian.
Beliau berkata, Gula Rahmah membuktikan bahawa bekalan gula mampu disediakan kepada rakyat tanpa bergantung kepada sebarang subsidi Kerajaan, namun masih boleh ditawarkan pada harga di bawah harga pasaran semasa iaitu RM2.70 sekilogram.
“Inisiatif ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang subsidi Kerajaan. Walaupun begitu, Gula Rahmah masih mampu ditawarkan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, selari dengan hasrat Kerajaan untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini, penjualan Gula Rahmah dilaksanakan secara terhad melalui Jualan Rahmah Bergerak sahaja yang diselaraskan oleh kementerian bagi memastikan pengedaran terkawal dan berfokus kepada kumpulan sasaran.
“Ketika ini, pelaksanaan melalui Jualan Rahmah Bergerak adalah langkah permulaan yang baik. Pada masa yang sama, kami berharap inisiatif Gula Rahmah ini dapat dipertimbangkan untuk diperluaskan secara lebih menyeluruh ke pasaran domestik, agar lebih ramai rakyat di seluruh negara berpeluang menikmati gula pada harga di bawah harga kawalan,” katanya.
Beliau menambah bahawa peluasan sedemikian berpotensi menjadi antara mekanisme berkesan dalam menangani isu kos sara hidup, khususnya bagi barangan keperluan asas yang digunakan secara harian oleh rakyat.
Majlis tersebut turut mempamerkan produk Gula Rahmah yang akan diagihkan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.
Gula Rahmah dilihat sebagai langkah progresif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus industri makanan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.


























