Bomba selamatkan 18 mangsa banjir di KK. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seramai 18 mangsa daripada lima keluarga berjaya dipindahkan dengan selamat susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Rampayan, Menggatal di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 malam, sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian, iaitu pada jam 8.23 malam.
Menurutnya, operasi dikendalikan oleh Komander Operasi PBK I Saflan Sapri dengan dibantu pegawai kanan Ibu Pejabat JBPM Sabah, PgKB II Mohd. Alfian Salion, PKPgB Dunstan Peter dan PKPgB Fazizul Hizam Borhan.
“Komander Operasi melaporkan terdapat bencana alam banjir di kawasan Kampung Rampayan, Menggatal. Operasi memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Darau telah dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Penampang.
“Seramai 18 orang mangsa berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat. Setelah memastikan tiada lagi mangsa yang perlu dipindahkan, operasi ditamatkan dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara mangsa yang terlibat terdiri daripada seorang lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Katanya, operasi melibatkan seramai 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang dengan kekuatan logistik termasuk sebuah jentera FRT, EMRS, lori, pacuan empat roda Navara, Vigo serta sebuah bot.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah malam selepas semua mangsa disahkan selamat dan situasi terkawal,” katanya.


























